PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran badminton profesional negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai mengikat tali pertunangan ketika percutian mereka di Maldives.
Soon Huat, 32 tahun membuat pengumuman tersebut menerusi laman media sosialnya hari ini selepas hampir setahun merancang untuk mencari destinasi yang sesuai serta cincin yang sempurna bagi melamar Shevon.
Pemain itu akhirnya memilih Maldives dan melamar Shevon kelmarin ketika matahari terbenam di pulau berkenaan.
“27/12/2022, Saya memberikan anda kejutan paling terbesar dalam percutian ini, meninggalkan memori yang indah dan tidak akan dilupakan dalam hubungan kita. Semuanya rasa berbaloi apabila awak bersetuju sambil mengalirkan air mata kegembiraan,” jelas Soon Huat menerusi kenyataan di media sosial sebentar tadi.
Soon Huat sebelum ini beraksi sebagai pemain perseorangan lelaki, digandingkan bersama Shevon sebagai beregu campuran pada 2016 dan mengumumkan hubungan romantik mereka tahun lalu.
Soon Huat dan Shevon akan memulakan kalendar 2023 dengan beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia 10 Januari depan menentang pasangan Taiwan, Chang ko Chi dan Lee Chih Chen pada pusingan pertama.