DOHA: Lupakan but mahal. Kebanyakan pemain bola sepak menempah dan mencipta sendiri pelindung betis (shin pad) unik yang dipakai sepanjang Piala Dunia 2022.
Bintang dari beberapa negara seperti England, Sepanyol dan Jerman memakai pelindung kaki itu dengan paparan imej isteri, teman wanita, keluarga, malah ada yang mendedikasikannya kepada kelab mereka.
Tahun lalu, Cristiano Ronaldo memakai pelindung betis memaparkan gambarnya bersama Georgina Rodriguez dalam Euro 2020.
BUKAYO SAKA
Kelab bola sepak Arsenal adalah cinta pertama pemain sayap England, Saka. Maka, tidak hairanlah pemain yang sudah meledak tiga gol itu meletakkan logo kelab di pelindung betis.
Dia juga meletakkan nombor ‘7’, iaitu jersi yang dipakai bersama Gunners. Saka bagaimanapun menggunakan No. 17 bersama England.
RAPHINHA
Ketika kamera beralih ke arah bangku simpanan Brazil semasa pasukan itu menentang Cameroon, Sabtu lalu, terlihat gambar bintang Barcelona tersebut memakai jersi kuning negaranya di pelindung betisnya.
Turut tertera kata-kata di pelindung kaki itu, “Bawa Pulang Piala”.
ANTONIO RUDIGER
Piala Dunia 2022 bukanlah musim terbaik Jerman apabila juara empat kali itu tersingkir di peringkat kumpulan.
Nasib tidak baik itu menjadikan Rudiger tidak mengambil masa lama untuk memakai pelindung betis yang memaparkan imej penumbuk tangan menghala ke depan bersama tandatangannya.
Imej itu adalah simbolik kepadanya sebagai pemain di posisi pertahanan Jerman.
KOKE
Bagi bintang tengah Sepanyol serta Atletico Madrid ini, kelab dan keluarga adalah segala-galanya.
Pelindung betisnya terpapar banyak imej antaranya keluarganya, begitu juga gambar dia bersama pasukan memberi tabik hormat kepada orang ramai di Wanda Metropolitano.
Dia pastinya akan mempunyai lebih banyak kenangan dengan pelindung kaki itu jika Sepanyol menang.
Malangnya semalam, pemain berusia 30 tahun itu perlu akur apabila pasukannya tewas kepada Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti 3-0 selepas kedudukan terikat 1-1. – AGENSI