PETALING JAYA: Sejak lapan tahun terakhir ini pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) sering menguasai skuad kebangsaan setiap kali tiba kejohanan besar, namun Piala AFF 2022 memperlihatkan senario berbeza dengan Selangor FC mengambil alih dominasi.
Bukan sekadar dipanggil melengkapkan pasukan gara-gara pemain Harimau Selatan tidak dilepaskan majikan mereka, sebaliknya pemain-pemain Gergasi Merah menjadi tonggak Harimau Malaya.
Perkembangan itu menggembirakan pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe dan mencetus keterujaan buat penyokong Merah Kuning menjelang kempen 2023.
Sebagai bekas jurulatih kebangsaan, Cheng Hoe sedar mendapat panggilan negara memberi manfaatkan kepada mana-mana pemain, terutama dalam meningkatkan keyakinan serta menguji kemampuan di pentas tinggi.

Melihat ramai pemainnya beraksi di pentas AFF, malah menunjukkan permainan matang memberi keyakinan kepadanya, Selangor yang sudah lama tidak mendakap trofi boleh memasang impian besar pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.
Ketika membelasah Laos 5-0, Sabtu lalu, enam pemain Selangor iaitu Faisal Halim, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Fazly Mazlan, Nor Hakim Hassan dan Muhkhairi Ajmal Mahadi memberi impak positif apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.
Selain enam pemain itu, turut menganggotai skuad bimbingan Kim Pan Gon ialah V. Ruventhiran, Ahmad Khuzaimi Piee, Brendan Gan dan Alif Haiqal Lokman Hakim Lau.
“Pemain seperti Sharul Nazeem, Brendan, Mukhairi, Faisal dan Nor Hakim nampak sangat memberansangkan, manakala prestasi Nor Hakim jelas membuktikan dia layak mewakili Harimau Malaya. Saya harap dia dapatkan mengekalkan prestasinya,” kata Cheng Hoe kepada Utusan Malaysia.