DOHA: Penyerang sensasi Brazil, Neymar gembira usaha kerasnya untuk segera pulih daripada kecederaan berbaloi apabila memainkan peranan besar ketika Brazil membenam Korea Selatan 4-1 semalam untuk mara ke suku akhir Piala Dunia.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu terlepas dua aksi peringkat kumpulan selepas cedera pergelangan kaki ketika membantu menentang Serbia pada 24 November lalu.
Bagaimanapun pemain berusia 30 tahun itu hanya sempat beraksi selama 81 minit ketika menentang Korea sebelum diganti dengan Rodrygo.
Neymar yang meledak gol kedua Brazil menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 mengakui, dia sebelum ini diselubungi perasaan takut setelah tersisih 11 hari kerana kecederaan, namun bersyukur mampu kembali beraksi dan meledak gol.
“Saya bermula baik musim ini, dan apabila terpaksa berhadapan kecederaan sebegini, ia sesuatu yang amat sukar.
“Saya menangis setiap malam tetapi semuanya berjalan baik semula apabila segala usaha yang dicurahkan tidak sia-sia,” jelas Neymar.
Neymar menjadi pemain ketiga Brazil meledak gol untuk tiga edisi Piala Dunia berbeza (2014, 2018, 2022) selain Pele dan Ronaldo.
Secara keseluruhan dia sudah meledak 76 gol buat Brazil, yang akan berdepan Croatia di suku akhir. – AGENSI