DOHA: Argentina kini berdepan masalah ekonomi dengan kadar inflasi 88 peratus dan empat daripada 10 penduduk hidup dalam kemiskinan.
Purata gaji rakyat negara itu 320 pound (RM1,720) sebulan, dan kebanyakan mereka melakukan dua atau tiga pekerjaan untuk menampung hidup.
Bagaimanapun 60,000 peminat bola sepak negara itu sanggup melakukan perjalanan sejauh 8,200 batu ke Qatar, malah ada yang sanggup berhutang dan menghabiskan wang simpanan bagi menceriakan wira Argentina.
Hari ini, peminat biru putih akan memenuhi Stadium Lusail untuk menyokong Lionel Messi dan rakan-rakannya berdepan Perancis bagi membawa pulang Piala Dunia selepas 36 tahun.
Nicolas Orellano, seorang peguam di Buenos Aires menggunakan semua simpanan dan meminjam wang daripada teman wanitanya untuk ke Qatar.
Dia terbang ke Sepanyol, kemudian ke London untuk menaiki penerbangan ke Dubai, sebelum menaiki bas dan kereta api melalui Arab Saudi ke Doha.
“Saya tiada wang dan tidak tahu bagaimana hendak pulang tapi tidak mungkin saya pergi sekarang. Kami begitu hampir melihat Messi menjulang Piala Dunia.
“Teman wanita saya meminjamkan AS$500 (RM2,212) apabila wang tunai saya habis tetapi saya mengenali beberapa orang yang menjual rumah mereka untuk mencari wang ke Qatar,” kata Nicolas kepada The Sun.
Akauntan dan peniaga daging sambilan, Javier Mahmud, 36, bergelut untuk menyimpan deposit rumah pertamanya di Buenos Aires bersama pasangannya, Carla Barletta, 34.
Tetapi Carla menyokong keputusannya untuk mengosongkan seluruh akaun simpanan mereka untuk pergi ke Doha melalui Mesir dan Lebanon. – AGENSI