PETALING JAYA: Bakal memulakan tugas baharunya pada 1 Januari ini, Rosman Razak memasang misi membantu lebih ramai pemain badminton profesional Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Selepas menamatkan tugas sebagai Ketua Jurulatih Filipina, Rosman akan kembali menabur bakti kepada badminton tanah air dengan melatih 24 pemain profesional di bawahnya.
Kata Rosman,membantu beregu lelaki seperti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie merealisasikan impian layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 antara matlamat terbesarnya.
Rosman yang akan mengendalikan tiga gandingan tersebut dan beregu profesional lain yang sebelum ini dilatih Chin Eei Hui mengakui, ia bukan tugas tetapi dia menyahutnya sebagai satu cabaran.
Sebuah negara dibenarkan menghantar maksimum dua pasangan untuk Sukan Olimpik dengan syarat mereka berada dalam kelompok lapan terbaik apabila tempoh kelayakan Olimpik berakhir pada penghujung April 2024.
Yew Sin-Ee Yi, ranking No. 8 dunia, Kian Meng-Pei Jing, (No. 6) dan Soon Huat-Shevon (No. 10) berada pada kedudukan yang baik serta mempunyai peluang realistik untuk mendapatkan tempat sulung Olimpik mereka di Paris.
Rosman, yang telah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Filipina untuk kembali ke Malaysia, berkata kuncinya adalah untuk mengekalkan momentum apabila tempoh kelayakan Olimpik setahun bermula pada Mei tahun depan.
“Sebagai jurulatih, saya mahu membantu pasangan profesional layak ke Sukan Olimpik dan ketiga-tiga beregu itu juga mempunyai impian dan keinginan yang sama untuk bermain di Paris, jadi kami berada di haluan yang saya.
“Saingan dalam beregu lelaki sangat sengit kerana mana-mana daripada 15 pasangan terbaik boleh layak manakala terdapat banyak beregu baharu beraksi baik dalam beregu campuran.
“Ia bukan satu tugas yang mudah untuk mereka layak dan mereka perlu bersedia berjuang sepanjang jalan, selain konsisten semasa kelayakan Olimpik akan menjadi penting bagi mereka untuk mara ke Paris 2024,” katanya yang ditemui dalam sesi latihan semalam.
Anak-anak buah Rosman bukan sahaja perlu bersaing dengan pasangan dari negara pesaing tetapi juga beregu di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Yew Sin-Ee Yi akan terlibat dalam pertarungan sengit dengan beregu No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan No. 10 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk slot Olimpik.
Selain tiga beregu, Rosman juga akan membimbing pasangan profesional seperti beregu lelaki Goh V Shem-Low Juan Shen, Tan Wee Kiong-Kian Meng, beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan beregu wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sien apabila dia bermula pada bulan Januari.
Kata Rosman, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky bagi mengadakan latihan bersama pemain di bawah kendalian badan induk itu, namun masih meneliti beberapa perkara untuk kesesuaian pemain.
“Kita mungkin akan buat sparring di BAM, tapi mungkin tak boleh buat selalu sebab saya perlu melihat pelbagai aspek secara keseluruhan, memandangka jadual pada musim depan pun sangat padat. Kita mungkin takkan buat semua, tapi kita akan cuba usahakan,” katanya.