DOHA: Selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Serbia 3-2, jurulatih Switzerland, Murat Yakin berkata, Portugal yang bakal menjadi lawan mereka di pusingan 16 akhir Piala Dunia 2022 pasti tidak suka bertemu pasukannya.
Skuad bimbingan Yakin muncul naib juara Kumpulan G, berkongsi enam mata bersama Brazil tetapi dibezakan oleh jumlah gol.
“Portugal tidak suka menentang kami. Mereka adalah pasukan pilihan tetapi dalam peringkat kalah mati apa-apa boleh berlaku.
“Saya fikir pasukan sudah bersedia untuk pertempuran ini,” kata Yakin.
Xherdan Shaqiri meledak gol pembukaan Switzerland sebelum Aleksandar Mitrovic menyamakan kedudukan pada minit ke-26 dan Dudan Vlahovic meletakkan Serbia di depan, sembilan minit berselang.
Switzerland bagaimanapun tampil lebih mantap dan meledak dua gol pantas menerusi Breel Embolo (minit-44) dan Remo Freuler (48) yang membuatkan Serbia tidak tidur lena.
“Pemain mempunyai matlamat untuk mencipta sejarah dan misi kami belum selesai.
“Pasukan telah bergerak lebih dekat hari ini, pemain lebih berpengalaman. Sekarang kami akan menikmati masa ini. Dalam bola sepak kami hidup untuk detik-detik ini,” kata Yakin.
Perlawanan Serbia dan Switzerland, bertukar buruk menuju penghujung, dengan pengadil melayangkan 11 kad kuning.
Bintang tengah Switzerland, Granit Xhaka yang mencetus kontroversi politik terhadap Serbia pada Piala Dunia 2018 berada di tengah-tengah pertengkaran. – AGENSI