PETALING JAYA: Vietnam pasukan yang amat kuat, namun pengendali Malaysia, Kim Pan Gon yakin, beliau mengetahui kelemahan skuad Naga Emas dan berharap dapat menewaskan mereka dalam pertembungan Piala AFF malam ini.
“Vietnam antara pasukan terkuat di Asia Tenggara tetapi saya tahu kelemahan mereka,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu tanpa menghuraikan apa kelemahan Vietnam, sebaliknya hanya akan berkongsi maklumat dengan anggota pasukannya.
Pan Gon, 53, menjadi Ketua Jurulatih Malaysia pada Januari lalu dan sudah membawa Harimau Malaya dalam 14 perlawanan – menang 10, seri dua dan kalah dua.
Malaysia memenangi dua aksi pertama Piala AFF 2022, menewaskan Myanmar 1-0 dan Laos 5-0. Jika menewaskan Vietnam malam ini mereka akan meraih tiket awal ke separuh akhir.
Begitupun, ia bukan tugas mudah. Malaysia gagal menang ke atas Vietnam sejak lima tahun lalu, iaitu sejak jurulatih Park Hang-seo mengambil alih pasukan itu.
Pan Gon berkata, menentang Vietnam di Stadium My Dinh mungkin ‘perlawanan paling sukar’ beliau sebagai ketua jurulatih Malaysia.
📽 Dengar apa kata ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada sidang media di Hanoi, Vietnam, pagi tadi menjelang perlawanan ketiga Kumpulan B menentang Vietnam di Stadium My Dinh, malam esok.https://t.co/M8Kv0mTQZt#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/5nfxqMN9k4
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 26, 2022
“Vietnam bermain terlalu baik baru-baru ini.
“Mereka penuh dengan pengalaman selepas mengharungi beberapa perlawanan besar dalam kelayakan Piala Dunia 2022.
“Bagaimanapun, tiada apa yang perlu dirisaukan oleh kami. Malaysia yakin dan akan bermain perlawanan yang hebat esok,” katanya.
Pan Gon adalah jurulatih Korea Selatan ketiga yang mengendalikan pasukan kebangsaan Asia Tenggara. Hang-seo melatih Vietnam dan Shin Tae-yong membimbing Indonesia.
Pan Gon berkata, dia amat teruja untuk menghadapi rakan senegaranya dari Korea Selatan dalam permainan ini.
“Saya masih ingat menghadapi pasukan Park ketika kami masih di Korea Selatan.
“Beliau seorang yang dihormati dan lebih berpengalaman daripada saya.
“Saya sangat menghormatinya dan akan melakukan yang terbaik untuk perlawanan esok. Saya mahukan kemenangan,” katanya.