DOHA: Kylian Mbappe dilihat duduk bersendirian di bangku simpanan ketika melihat Lionel Messi menjulang trofi Piala Dunia.
Bintang Perancis itu menjadi pemain pertama sejak Sir Geoff Hurst meledak hatrik dalam perlawanan terbesar bola sepak ketika menentang Argentina.
Lapan jaringan yang dicipta sepanjang Piala Dunia 2022 membolehkannya memenangi trofi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak kejohanan.
Malah, pemain berusia 23 tahun itu turut menyempurnakan sepakan penalti dalam penentuan dramatik, namun ketangkasan penjaga gol lawan, Emiliano Martinez menyelamatkan dua percubaan membolehkan Argentina menewaskan juara bertahan itu setelah permainan sebenar terikat 3-3.
Messi , 35, sendiri menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir untuk mengumpul tujuh gol menakjubkan dalam kempen di Qatar.
Di bawah tekanan tinggi untuk merangkul Kasut Emas, Mbappe berusaha keras menghidupkan impian negaranya.
Mbappe menjadi pemain kedua mencipta hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia selepas legenda England, Hurst pada 1966 dan menamatkan saingan dengan satu gol di hadapan Messi yang dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan itu.
Messi pula pemain pertama menjaringkan gol dalam peringkat kumpulan dan keempat-empat pusingan kalah mati.
Mbappe, 23, setakat ini sudah menjaringkan 12 gol Piala Dunia dalam 14 penampilan, meletakkannya setaraf legenda Brazil, Pele.
Mbappe menjadi pemain kedua berjaya menjaringkan gol pada perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut selepas Vava meledak gol kemenangan Brazil pada 1958 dan 1962.
Empat gol penyerang Paris Saint-Germain itu dalam perlawanan akhir Piala Dunia juga adalah yang terbanyak dalam sejarah.