AL-RAYYAN, Qatar: Terlalu kecewa dengan penyingkiran Brazil dari Piala Dunia 2022, Neymar mengakui, fikirannya ketika ini tidak ‘waras’ hingga dia tidak boleh memikirkan tentang masa depannya.
Neymar juga mengakui, kejayaan menyamai rekod legenda Brazil, Pele sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan meledak 77 gol tidak mampu mengubat kecewa gagal membantu Brazil menjulang kejuaraan keenam dan menamatkan penantian 20 tahun.
Semalam, pasukannya ditunjukkan jalan keluar oleh Croatia menerusi penentuan penalti 4-2 selepas permainan berakhir 1-1.
Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic muncul wira apabila menyelamatkan sepakan Rodrygo, manakala tendangan Marquinhos terkena tiang.
Ketika ditanya mengenai masa depannya selepas Piala Dunia 2022, Neymar, 30, berkata, dia tidak boleh memberi sebarang jaminan akan kekal bersama Brazil atau tidak.
“Sejujurnya, saya tidak tahu. Saya rasa bercakap sekarang adalah buruk kerana kekalahan yang baru kami alami. Mungkin saya tidak berfikiran waras ketika ini.
“Untuk mengatakan ini adalah penghujungnya, saya mungkin terburu-buru tetapi saya juga tidak menjamin apa-apa. Mari lihat apa yang berlaku pada masa hadapan.
“Saya mahu mengambil masa untuk memikirkannya, berfikir tentang apa yang saya mahu untuk diri saya sendiri.
“Saya tidak akan menutup pintu untuk bermain dengan Brazil, dan saya juga tidak mengatakan 100 peratus saya akan kembali,” tegas Neymar.
Neymar meletakkan Brazil di depan pada minit ke-105 sebelum Bruno Petkovic menyamakan di minit ke-116 untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Turun sebagai pilihan pertama, kegagalan Brazil memanjangkan lagi penantian rakyat negara itu untuk melihat trofi dibawa pulang sejak 2–2. – AGENSI