DOHA: Penyerang Brazil, Neymar dikatakan telah membayar 30,000 euro (RM140,000) kepada rakan sepasukannya, Richarlison supaya membuang wajahnya daripada tatu besar di belakang bintang Tottenham itu.
Prestasi cemerlang Richarlison telah mencuri tumpuan pada Piala Dunia 2022, dan dia menandakan pengembaraan hebat di Qatar dengan melukis tatu besar di belakang badannya menampilkan dirinya, Neymar dan Ronaldo Nazario.
Pemain berusia 25 tahun itu berada pada prestasi terbaik sepanjang kejohanan, menjaringkan tiga gol, termasuk sepakan gunting menentang Serbia.
Bagaimanapun Brazil tidak mencapai sasaran apabila tersingkir di suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia.
Neymar yang amat kecewa turut tidak berkenan dengan tatu Richarlison dan meminta rakan sepasukannya itu membuang mukanya.
“Tatu itu nampak mengerikan tetapi saya rasa Neymar kelihatan teruk. Apa pun, ini adalah badan Richarlison,” reaksi peminat Brazil mengenai tatu tersebut.
“Adakah anda melihat tatu Richarlison? Kenapa dia melukis Neymar? Ronaldo? Bendera Brazil? Dirinya?” tulis seorang lagi peminat.
Sebaik sahaja Brazil tersingkir dari Piala Dunia, Richarlison telah kembali ke England untuk membuat persiapan bersama Tottenham sebelum Liga Perdana Inggeris bersambung.
Selepas mengalami kecederaan ketika memanaskan badan, penyerang itu bermain dalam kesakitan pada pertemuan menentang Croatia dan bertahan 84 minit sebelum digantikan oleh Pedro. – AGENSI