DOHA: Pengendali Maghribi, Walid Regragui percaya, lebih banyak kejutan bakal dihadirkan pasukannya selepas melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 36 tahun.
Maghribi mengesahkan kemaraan selepas menumpaskan Kanada 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan F semalam hasil jaringan Hakim Ziyech dan Youssef En-Nesyri.
Kemenangan itu membolehkan skuad Singa Atlas muncul juara kumpulan dengan tujuh mata, diikuti Croatia yang seri 0-0 dengan Belgium.
“Ia bukan mudah. Apabila anda mempunyai peluang keemasan sebegini untuk melakar sejarah, anda akan harus memanfaatkannya.
“Secara jujurnya, separuh masa pertama hari ini (semalam) persembahan terbaik kami sejak sekian lama,” kata Regragui.
Menurut pengendali berusia 47 tahun itu, kemenangan di peringkat kumpulan didorong keinginan kuat sejak awal lagi untuk mara jauh di Qatar.
“Kami datang ke sini bukan dengan pemikiran ‘oh kami begitu hampir’. Kami mahu bermain dengan gaya sendiri, permainan yang bagus.
“Kami meniru gaya pasukan Eropah dan menerapkannya dalam diri kami, supaya kami mampu menggabungkan dua gaya permainan.
“Kami melakukannya dengan baik setakat ini dan jika kami boleh mengekalkan gaya itu, akan akan menjadi ancaman kepada semua pasukan. Kami boleh menang banyak lagi,” katanya.
Maghribi bakal berdepan ujian getir juara 2010, Sepanyol, Selasa ini untuk memburu tiket ke suku akhir. – AGENSI