DOHA: Kelibat Lionel Messi antara yang tidak kelihatan ketika Argentina menjalani latihan di Universiti Qatar semalam, sekali gus mencetus kerisauan mengenai kecergasan pemain itu menjelang final Piala Dunia menentang Perancis esok.
Penyerang berusia 35 tahun itu beberapa kali memegang bahagian pangkal pahanya ketika Argentina menumpaskan Croatia 3-0 pada separuh akhir, Rabu lalu.
Pengendali pasukan, Lionel Scaloni menjelaskan, ketiadaan Messi bersama beberapa tonggak ketika sesi latihan adalah kerana diberikan cuti rehat.
Selain Messi, pemain lain yang turut berdepan kecederaan ialah Papu Gomez yang ditimpa masalah buku lali.
Begitupun, Marcos Acuna dan Gonzalo Montiel dijangka kembali daripada penggantungan bagi memperkuatkan juara dunia dua kali itu.
Angel di Maria dan Paulo Dybala yang beraksi sebagai gantian ketika menentang Croatia hadir dalam latihan tersebut.
Messi menjadi sandaran utama Argentina untuk berdepan juara bertahan, Perancis kerana sumbangannya besarnya telah membawa skuad Albiceleste mara ke final dengan meledak lima gol dan tiga umpanan.
Perlawanan di Stadium Lusail juga penampilan terakhirnya di Piala Dunia, dan Messi berhasrat untuk memenangi satu-satunya trofi yang tidak pernah diraih dalam kariernya yang gemilang.
“Saya rasa bagus, kuat dan bersedia untuk beraksi dalam setiap perlawanan. Ia tidak mudah kerana kami hadir ke sini dalam keadaan penat tetapi pasukan akan mengerahkan kudrat,” kata Messi. – Agensi