DOHA: Sama seperti jutaan rakyat Argentina, dalam fikiran Lionel Messi hanya ada satu perkara ketika ini iaitu membawa pulang Piala Dunia selepas 36 tahun menanti.
Bagaimanapun selepas membenam Croatia 3-0 di Stadium Lusail semalam, cita- cita Messi tidak terhenti di situ.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mahu memahat sejarah lebih besar yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 40 tahun, memenangi Piala Dunia, Kasut Emas (penjaring terbanyak) dan Bola Emas (pemain terbaik).
Sejak anugerah Bola Emas diperkenalkan, hanya seorang pemain berjaya memenangi treble iaitu Paolo Rossi dari Itali pada Piala Dunia 1982 di Sepanyol.
Rossi membantu Itali menjulang Piala Dunia buat kali ketiga selepas menumpaskan Jerman Barat 3-1 dalam perlawanan akhir. Dia kemudian meraih Kasut Emas dengan meledak enam gol, sebelum diumum sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk meraih Bola Emas.
Semalam, Messi menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan lima gol telah dihasilkan sepanjang di Qatar, berkongsi jaringan bersama Kylian Mbappe (Perancis).
Dia turut mencipta umpanan untuk dua gol yang disempurnakan rakan sepasukan, Julian Alvarez, sekali gus meletakkan pemain berusia 35 tahun itu di posisi terbaik memenangi anugerah Bola Emas.
Bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, Luis Suarez tidak meragui, kapten Argentina itu adalah pemain terbaik dunia ketika ini dan dia mampu memahat sejarah memenangi trofi treble.
“Dia tidak pernah letih untuk menunjukkan dia adalah yang terbaik di dunia.
“Semua orang berdiri untuk memuji apa yang ‘budak ini’ (Messi) berikan kepada bola sepak. Kawan saya mengagumkan,” kata bintang Uruguay itu yang menyokong Argentina untuk memenangi perlawanan akhir, Ahad ini.
Kali pertama Argentina menjuarai Piala Dunia adalah pada 1978, namun mereka tidak pernah menjulang trofi berprestij itu sejak kali terakhir legenda negara itu, Diego Maradona memenanginya pada 1986.