IPOH: Majlis Belia Daerah (MBD) Pengkalan Hulu muncul juara pertama kejohanan bola sepak Piala Datuk Seri Azim Zabidi apabila menundukkan Legasi Setiakawan FC 2-1 di sini hari ini.
Dalam perlawanan akhir di Taman D R Seenivasagam di sini, Legasi Setiakawan FC mendahului seawal minit ke-12 melalui jaringan Muhammad Aris Rahman.
Bagaimana, Pengkalan Hulu bangkit di separuh kedua untuk memusnahkan lawan melalui dua jaringan Exdueine Hamdan untuk memastikan kejuaraan.
Pengkalan Hulu meraih hadiah wang tunai RM10,000 yang ditawarkan dalam kejohanan mencari bakat baharu itu manakala Legasi Setiakawan pula menerima RM6,000.
Sementara itu, Kelab Bola Sepak Pencinta Setia menduduki tempat ketiga selepas membaham Kampar FA A 4-0.
Gol-gol pasukan Pencinta Setia dijaringkan oleh Mohamad Hijaz Hakimi Romdan (dua gol) serta Muhammad Adam Putra dan Muhammad Riduan Ahmad Nazri masing-masing satu.
Pencinta Setia meraih RM4,000 dan Kampar FA membawa pulang RM2,000. – UTUSAN ONLINE