DOHA: Kylian Mbappe meresahkan Perancis menjelang pertembungan suku akhir Piala Dunia 2022 menentang England, Ahad ini selepas tidak hadir pada sesi latihan semalam.
Mbappe yang mendahului senarai penjaring terbanyak di Qatar dengan lima gol daripada empat perlawanan berada dalam bilik pemulihan ketika rakan-rakan sepasukannya berlatih di Stadium Jassim bin Hamad.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengalami kecederaan buku lali sebelum kejohanan bermula, dan tidak dapat dipastikan apakah dia berdepan masalah sama.
Mbappe bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda dia dalam kesakitan apabila beraksi cemerlang di peringkat kumpulan dan pusingan 16 akhir untuk berada pada senarai teratas pemenang Kasut Emas.
Pemain berusia 23 tahun itu dianggap ancaman terbesar England apabila berdepan Perancis di Stadium Al Bayt, dan ketiadaannya pasti berita gembira buat Three Lions.
Begitupun, Perancis masih memiliki penyerang veteran yang berada pada prestasi terbaiknya, Oliver Giroud, yang menyertai rakan-rakan sepasukan dalam sesi latihan semalam.