DOHA: Roberto Martinez mengesahkan dia akan melepaskan jawatannya sebagai Pengurus Belgium selepas mereka disingkirkan di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2022.
Bekas bos Everton berusia 49 tahun itu juga akan melepaskan jawatan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Belgium selepas kempen mereka di Qatar berakhir dengan ‘mimpi ngeri’.
Skuad kendalian Martinez hanya berjaya meraih satu kemenangan daripada tiga perlawanan Kumpulan F selepas seri 0-0 dengan Croatia sebentar tadi, di mana penyerang bintang, Romelu Lukaku terlepas beberapa peluang keemasan pada separuh masa kedua.

Martinez telah mengendalikan Belgium selama enam tahun dan turut memainkan peranan penting di belakang tabir dalam merombak skuad kebangsaan apabila melibatkan pasukan remaja negara itu.
Bagaimanapun pencapaian terbaiknya ialah membimbing Red Devils ke tempat ketiga dalam Piala Dunia di Russia empat tahun lalu.
Walaupun berjaya mengekalkan Belgium sebagai pasukan ranking No.1 dunia selama tiga setengah tahun sebelum menduduki tangga kedua ketika ini, namun Martinez akan berundur apabila kontraknya tamat pada 31 Disember.

“Ini adalah perlawanan terakhir saya.Ia emosi seperti yang sukar digambarkan,” kata jurulatih kelahiran Sepanyol itu.
Kegagalan merangkul piala bersama ‘Generasi Emas’ Belgium akhirnya menyebabkan dia kehilangan tugasnya, setelah dilantik pada 2016 ketika Red Devils menjangkakan era gemilang bakal menyusul.
“Bukan mudah untuk memenangi perlawanan dalam Piala Dunia. Kami bukan diri kami pada aksi pertama, kami mengalami kekalahan yang wajar pada perlawanan kedua,” katanya. – AGENSI