PETALING JAYA: Pemain beregu campuran profesional, Tan Kian Meng menganggap kehadiran juara dunia dua kali, Nova Widianto dalam kem kebangsaan sebagai perkara positif bagi meningkatkan taraf permainan pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Ketika ini, beregu profesional lebih menguasai carta 10 kelompok terbaik beregu campuran dunia, dengan Kian Meng dan Lai Pei Jing di ranking kelima, manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai kesembilan.
Pemain kebangsaan pula baru sahaja dirombak dan pasangan terbaik mereka ketika ini Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menunjukkan peningkatan biarpun hanya digandingkan bulan lalu.
Justeru persaingan bakal menjadi sengit untuk memburu tiket ke Paris 2024 apabila kelayakan Sukan Olimpik bermula 1 Mei depan, dan satu negara diperuntukan dua wakil dengan syarat, perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia.
“Saya rasa ini persaingan yang bagus, jadi kalau mereka mahu pergi (Sukan Olimpik), mereka kena buktikan. Begitu juga kami, kami perlu tingkatkan permainan dan saya rasa bukan beregu campuran sahaja, acara lain juga kena bersaing seperti ini barulah badminton Malaysia meningkat.
“Saya rasa walaupun kami kini No. 5 dunia, banyak lagi perlu dipelajari, terutama dari pasangan China dan Jepun,” kata Kian Meng.
Kian Meng-Pei Jing mereka berpeluang membuktikan siapa lebih hebat apabila akan bertemu Tang Jie-Ee Wei pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, 10 Januari depan.
Ironinya tahun lalu, perjalanan Kian Meng-Pei Jing pada kejohanan itu tersekat di pusingan pertama apabila tewas kepada rakan senegara, Shevon-Soon Huat.