KUALA LUMPUR: Usaha Soh Wai Ching untuk mengembangkan sukan lari menara di dalam negara dan ke peringkat dunia akhirnya berbaloi apabila Malaysia diberi ‘mandat’ menjaga serta memberi tunjuk ajar kepada negara-negara di rantau ini membentuk persatuan sukan larian menara.
Wai Ching, pelari menara No. 1 dunia berkata, bagi merealisasikan misi itu, dia perlu membentuk persatuan sukan ini di beberapa negeri bagi membolehkan larian menara dapat dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan seterusnya Sukan SEA 2027, yang mana Malaysia sebagai tuan rumah berpotensi besar untuk membolot pingat.
Katanya, buat masa ini Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama menubuhkan persatuan larian menara, selari dengan Kejohanan Larian Menara Kebangsaan 2023 di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada 8 Januari.
“Dari situ, kita akan mengenal pasti atlet berbakat dan kita bawa mereka terlibat dalam persatuan sukan negeri, malah kita juga akan menjadikan tingkat paling atas KOMTAR sebagai tapak untuk Persatuan Sukan Lari Menara Pulau Pinang.
“Kita juga sedang berusaha menganjurkan banyak pertandingan supaya dapat mencungkil lebih ramai atlet dan dapat membentuk komuniti pelari menara di Malaysia.
“Kita sedang lakukan banyak perbincangan dengan pemilik-pemilik bangunan agar mereka dapat mengizinkan pertandingan ini diadakan di dalam bangunan mereka sebagai usaha mempromosikan sukan ini kepada orang ramai,” katanya yang berhasrat memasukkan sukan itu dalam Sukan SEA 2027.