LUSAIL, Qatar: Pegendali Croatia, Zlatko Dalic mengakui, Lionel Messi mempamer persembahan seperti yang dijangkakan selepas bintang Argentina itu menamatkan impian Piala Dunia mereka di Qatar.
Messi memainkan peranan besar untuk menafikan hajat Croatia membuat penampilan final kedua berturut-turut selepas meledak satu gol dan mencipta umpanan ketika Argentina menang 3-0 semalam.
Kewibawaan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) tersebut tidak mengejutkan ketua jurulatih Croatia itu, yang merancang untuk kekal mengendalikan pasukan sehingga kontraknya tamat pada 2024.
Bagaimanapun, Dalic mengakui beberapa pemain dari generasi ini tidak akan dapat menyertai Piala Dunia 2026, dengan kaptennya yang berumur 37 tahun, Luka Modric berkemungkinan berada di antara mereka.
“Tidak banyak yang perlu diperkatakan tentang kualiti Messi.
“Dalam 15 tahun lalu, dia mungkin pemain terbaik di dunia, dan hari ini sekali lagi, dia sangat bagus dan berbahaya.
“Dia membawa kualiti untuk pasukan Argentina. Dia mempunyai kehebatan dan teknik yang bagus pada prestasi serta tahap sangat tinggi. Ia adalah Messi sebenar yang kami harapkan untuk lihat.
“Bagi Croatia, ini mungkin penghujung buat generasi kami pada Piala Dunia.
“Beberapa pemain telah melebihi usia pada Piala Dunia 2026. Kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.
Dalic bagaimanapun percaya, generasi ini masih mampu beraksi baik dalam Kejohanan Eropah (Euro) 2024 di Jerman.
“Kami juga mempunyai perlawanan akhir Liga Negara-Negara, dan ia merupakan generasi cemerlang yang mara ke separuh akhir dua kali berturut-turut. Alangkah baiknya jika memenangi pingat emas,” katanya. – AGENSI