DOHA: Persekutuan Bola Sepak Maghribi mengagihkan 13,000 tiket percuma kepada penyokong negara itu untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia menentang Perancis pagi esok.
Maghribi mencipta sensasi di Qatar selepas mengungguli Kumpulan F yang terdiri daripada naib juara 2018, Croatia, ‘generasi emas’ Belgium dan Kanada.
Di peringkat pusingan 16 terbaik, juara dunia 2010, Sepanyol pula menjadi mangsa Singa Atlas Maghribi apabila anak-anak buah Walid Regragui menang menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0.
Kemenangan itu menyaksikan mereka layak ke suku akhir bertemu Portugal sebelum menang 1-0 untuk menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.
Pada kejohanan kali ini, Maghribi mempunyai benteng ampuh dan mengagumkan diketuai penjaga gol kental, Yassine Bounou serta pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi.
Aksi menakjubkan negara itu pada Piala Dunia 2022 menjadi kenangan manis buat Maghribi, dan sokongan pemain ‘ke-12’ telah menyemarakkan semangat pasukan mereka. – AGENSI