LONDON: Liverpool memenangi persaingan sengit Manchester United untuk mengikat penyerang Belanda, Cody Gakpo selepas PSV Eindhoven mengumumkan perjanjian bersama kelab Liga Perdana itu hari ini.
Gakpo yang meledak tiga gol buat Belanda dalam Piala Dunia 2022 di Qatar, sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.
“PSV dan Liverpool FC telah mencapai persetujuan mengenai perpindahan Cody Gakpo.
“Penyerang berusia 23 tahun itu akan berangkat ke England dalam masa terdekat di mana dia perlu menjalani ujian kesihatan sebelum urusan perpindahan selesai,” kata PSV dalam satu kenyataan.
Pengurus besar PSV, Marcel Brands berkata, yuran perpindahan itu akan menjadi rekod tertinggi buat kelab Belanda tersebut.
Menurut laporan, bayaran itu boleh meningkat sehingga 44 juta pound (RM236 juta).
Kehadiran Gakpo adalah usaha Reds untuk memantapkan lagi barisan serangan Liverpool selepas pembelian Darwin Nunez musim ini. – AGENSI