AL-WAKRAH, Qatar: Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic muncul wira selepas berjaya menyelamatkan tiga sepakan penalti Jepun untuk membawa pasukannya mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022.
Dalam aksi di Stadium Al Janoub sebentar tadi, Croatia menang 3-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan dan juga masa tambahan.
Livakovic muncul wira selepas menafikan sepakan yang diambil Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Mayo Yoshida untuk membawa pasukan naib juara dunia 2018 itu ke peringkat suku akhir.

Dalam masa sebenar permainan, Jepun mendahului Croatia pada minit k-44 menerusi Daizen Maeda yang menggegarkan jaring Croatia apabila memanfaatkan peluang terhidang untuk menewaskan Livakovic.
Bersambung babak kedua, Croatia memperkemas permainan dan hasilnya mereka mendapat gol penyamaan menerusi tandukan menarik Perisic pada minit ke-55 selepas menerima hantaran silang Dejan Lovren dari sebelah kanan.
Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat babak kedua dibunyikan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan dan kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan untuk memaksa pemenang ditentukan melalui sepakan penalti.
Croatia kini akan menunggu lawan mereka di suku akhir sama ada Brazil atau Korea Selatan yang akan bertembung pada pukul 3 pagi nanti-Agensi