PETALING JAYA: Tiada wakil Malaysia di pentas akhir, selepas dua beregu negara tersingkir pada separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 di Bangkok, Thailand, hari ini.
Dalam aksi beregu campuran, wakil Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada beregu China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 10-21, 15-21 dalam masa 27 minit.
Kekalahan itu melebarkan rekod pertemuan antara kedua-dua beregu yang berpihak kepada pasangan No. 3 dunia itu 8-0.
Kemenangan yang dicatat Si Wei-Ya Qiong bakal menemukan mereka sama ada gandingan No. 1 dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai atau beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas di pentas akhir, esok.
Sementara itu, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tunduk kepada beregu yang mendapat jolokan ‘The Daddies’, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-17, 13-21, 19-21 dalam masa 54 minit.
Ahsan dan Hendra akan beraksi menentang beregu No. 11 dunia dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang mengalahkan rakan senegara mereka, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 22-20, 11-21, 21-19. – UTUSAN ONLINE