DOHA: Antonio Mateu Lahoz, nama yang tidak akan dilupakan oleh pasukan Argentina dan Belanda apabila pengadil dari Sepanyol itu melayangkan 19 kad kuning dan satu kad merah dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2022 semalam.
Dalam aksi tegang di Stadium Lusail, Lahoz, 45, bukan sahaja memberikan lapan kad kuning kepada pemain Argentina dan tujuh buat pemain Belanda, malah dua pegawai Argentina turut dihadiahkan kad kuning.
Tidak hanya kad kuning, pengadil kontroversi itu juga menyebabkan pertahanan Belanda, Denzel Dumfries dibuang padang, dua minit sebelum tamat masa tambahan apabila mengutip dua kad kuning.
Tidak pasti sama ada ia sesuatu yang membanggakan atau tidak, namun Lahoz kini memecah rekod Piala Dunia.
Dia mengatasi sejarah 16 kad kuning yang diberikan pengadil dalam pertemuan Portugal-Belanda pada 2006 yang dikenali sebagai Battle of Nuremberg.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil kerana mereka akan mengambil tindakan terhadap anda,” kata bintang Argentina, Lionel Messi.
Messi, 35, mempunyai sejarah ‘pahit’ dengan Lahoz. Pada 2020, dia beraksi dalam perlawanan pertunjukan di antara Barcelona menentang Osasuna sebagai penghormatan kepada legenda Argentina, Diogo Maradona yang baru meninggal dunia.
Lahoz melayangkan kad kuning kepada Messi hanya kerana menanggalkan jersinya.
Pada aksi La Liga musim 2013-2014, Lahoz pernah membatalkan jaringan Messi ketika Barcelona seri 1-1 dengan Atletico Madrid.
Lahoz kemudian meminta maaf kepada Barcelona kerana tersilap tidak membenarkan gol itu. – AGENSI