Kisona sedia harungi cabaran sebagai pemain profesional

Kisona sedia harungi cabaran sebagai pemain profesional

S.Kisona (tiga dari kiri) bersama kepimpinan tertinggi Akademi Badminton Malaysia ketika mengumumkan pengunduran dari skuad kebangsaan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita, S.Kisona tidak merasakan keputusannya mengundur diri daripada skuad kebangsaan merupakan penamat kepada kariernya, sebaliknya merancang untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Bagaimanapun sebelum dia dapat melaksanakan perancangannya itu, dia mahu menumpukan sepenuhnya kepada proses pemulihan lutut kanan yang telah pun membelenggunya sejak sekian lama.

Ia juga menjadi salah satu sebab pemain kelahiran Negeri Sembilan itu mengambil keputusan keluar daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas 11 tahun menabur bakti dalam kem kebangsaan.

“Saya rasa ramai yang tak sedar dengan kecederaan saya dan saya memang sudah berusaha sebaik mungkin dalam semua kejohanan disertai. Apapun, saya memilih untuk bermain untuk tempoh masa yang lebih lama.

“Justeru itu, sekiranya tak ada proses pemulihan yang baik dalam jangkamasa tertentu, mungkin kecederaan yang saya alami akan berterusan. Jadi saya berbincang dengan jurulatih, demi perancangan yang lebih baik, saya rasa sekarang ini saya perlu memberikan tumpuan kepada proses pemulihan.

“Ia bergantung, mungkin dalam tiga minggu, dua minggu dan mungkin lagi lama daripada itu. Saya perlu melihat, berapa teruk kecederaan itu sendiri,” jelas Kisona ketika melakukan pengumuman tersebut hari ini di ABM, Bukit Kiara.

Kisona yang berada di ranking ke 57 dunia pernah mencipta sensasi meraih pingat emas Sukan Sea Manila 2019.

Kisona masih berpeluang untuk ke Sukan Olimpik Paris bagaimanapun perlu bersaing hebat dengan seorang lagi pemain negara, Goh Jin Wei yang turut bergerak sebagai pemain profesional.

“Jadi sebagai pemain profesional, saya mempunyai masa tersendiri, boleh pulih dengan lebih baik dan kembali berjuang. Saya mempunyai hubungan baik dengan BAM, jadi saya fikir pada bila-bila masa, saya boleh datang untuk menjadi rakan pelatih bersama pemain junior.

“Kemudian kalau saya mempunyai peluang, saya akan masuk semula sekiranya BAM benarkan. Apapun, saya tetap membawa nama Malaysia dan saya akan memberikan yang terbaik untuk negara,” tambah Kisona.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya