Kejohanan Siri Trek YSD dilancarkan

Kejohanan Siri Trek YSD dilancarkan

DR. Yatela Zainal Abidin (empat dari kiri) menyerahkan replika cek tajaan Yayasan Sime Darby untuk Kejohanan Siri Trek YSD kepada Sivanandan Chinnadurai sambil diperhatikan oleh Tunku Imran Tuanku Ja'afar (dua dari kanan), Hannah Yeoh (tiga dari kanan) danJohn Beasley (dua dari kiri) di Nilai dekat Seremban, hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sukan lumba basikal trek negara dijangka melonjak tinggi dengan penganjuran Kejohanan Siri Trek YSD (YSDTS) yang dilancarkan hari ini.

Kejohanan itu yang akan berlangsung selama 3 tahun mulai tahun hadapan menyaksikan sebanyak 52 siri perlumbaan dianjurkan melibatkan tiga kategori umur utama iaitu bawah 15 tahun, bawah 17 tahun dan bawah 19 tahun.

Penganjuran kejohanan itu akan memberi peluang kepada lebih 100 pelumba basikal trek di negara ini mengambil bahagian dan mempamerkan keupayaan masing-masing.

Pengerusi Yayasan Sime Darby (YSD), Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, YSDTS dianjurkan oleh Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) dengan pembiayaan sebanyak RM2.7 juta oleh YSD.

Beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi SportExcel berkata, YSDTS adalah program yang penting untuk mewujudkan fasiliti perlumbaan yang berkualiti dan selamat untuk pendedahan dan pembangunan bakat tempatan.

“Saya berharap siri kejohanan ini akan menggalakkan pembentukan lebih banyak kelab atau pasukan profesional basikal trek yang akan membuka jalan baharu untuk menonjolkan atlet muda negara.

“Saya juga berharap penganjuran YSDTS akan melahirkan lebih ramai jaguh basikal trek yang bakal membawa kegemilangan lebih besar untuk Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan pelancaran YSDTS di Velodrom Nasional dekat Nilai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr. Yatela Zainal Abidin; Pengarah Eksekutif SportExcel, Sivanandan Chinnadurai dan Pengarah Sukan Berprestasi Tinggi Majlis Sukan Negara (MSN), John Beasley yang juga Penasihat Teknikal YSDTS.

Sementara itu, Hannah berkata, beliau yakin penyertaan lebih meluas dalam banyak perlumbaan yang dianjurkan membolehkan bakat baharu dalam sukan itu diketengahkan ke arena lebih tinggi.

Beliau berkata, usaha itu dimudahkan dengan bantuan sektor korporat yang tampil dengan pembiayaan dalam jumlah yang besar.

“Sumbangan syarikat swasta sangat penting dan amat dihargai kerana kerajaan semata-mata tidak mampu untuk berbuat demikian.

“Kita sebenarnya memerlukan semua pihak termasuk media untuk membantu dalam program pembangunan sukan negara mencapai tahap yang lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Beasley memberitahu, beliau yakin YSDTS akan melonjakkan masa depan sukan lumba basikal trek negara.

Katanya, jumlah pelumbaan yang meningkat kepada 52 kali setahun berbanding empat kali ketika ini memberi platform kepada para pelumba mempamerkan prestasi lebih tinggi.

“Kami sangat teruja untuk sekali lagi bekerjasama dengan YSD untuk pembangunan sukan basikal trek yang direka khas untuk menarik minat baharu dalam sukan ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya