AL-RAYYAN, Qatar: Berjaya menumpaskan juara lima kali, Brazil dalam Piala Dunia memberi satu perasaan yang amat istimewa buat pemain Croatia.
Semalam, skuad Vatreni melakar kejutan terbesar di Qatar apabila menyingkirkan pasukan No. 1 dunia itu menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas masa sebenar berkesudahan 1-1.
Kemenangan itu akan menemukan Croatia, naib juara di Russia, empat tahun lalu dengan Argentina pada separuh akhir Rabu ini.
Pertahanan kiri VfB Stuttgart, Borna Sosa berkata, mereka amat bangga kerana menumpaskan pasukan ternama dan paling popular dalam sejarah Piala Dunia.
“Kami rasai pelbagai emosi ketika ini, ramai menitiskan air mata gembira.
“Kami meraih keputusan amat cemerlang, membanggakan seluruh Croatia. Tiada siapa sangka kami akan menang, tiada siapa percaya kami boleh mengalahkan Brazil.
“Bagi saya Brazil adalah bola sepak dan begitu juga sebaliknya. Mengalahkan skuad Selecao adalah perasaan terbaik,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Sementara itu, Sosa turut memuji kapten Croatia, Luka Modric yang masih mampu mempamer prestasi luar biasa biarpun sudah menginjak usia 37 tahun.
“Bagi saya dia dalam kedudukan lima pemain terbaik dunia sepanjang zaman. Saya rasa tiada siapa dapat menunjukkan permainan sebagus Luka pada usia 37 tahun,” katanya. – AGENSI