DOHA: Pengurus Belanda, Louis van Gaal mengakui, kekalahan pasukannya kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir Piala Dunia ‘amat menyakitkan’.
Belanda bangkit daripada ketinggalan dua gol di hujung permainan menerusi jaringan Wout Weghorst untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas Argentina mendahului 2-0 menerusi gol dari Nahuel Molina dan penalti Lionel Messi.
Begitupun Virgil van Dijk dan Steven Berghuis berdepan kekecewaan menyakitkan apabila sepakan penalti mereka diselamatkan oleh Emiliano Martinez untuk memberi kemenangan kepada Argentina dengan keputusan 4-3 dan menempah tiket separuh akhir menentang Croatia.
“Kami gagal menjaringkan dua penalti pertama jadi ketika itulah keadaan menjadi sangat sukar. Ia soal bertuah dan loteri.

“Ini kali kedua kami tewas kepada Argentina dengan cara ini. Dua Piala Dunia dengan jurulatih sama buat Belanda.
“Saya sentiasa mengarahkan pemain berlatih mengambil sepakan penalti, jadi tiada siapa untuk dipersalahkan.
“Kami bangkit dan menyamakan kedudukan tetapi akhirnya kalah menerusi penentuan sepakan penalti itu sesuatu yang memeritkan,” kata Van Gaal.
Van Gaal bertanggungjawab mengendalikan Belanda buat kali ketiga kembali mengendalikan pasukan itu pada Ogos 2021 selepas menjalani rawatan kanser prostat.
Oranje tidak tewas dalam 20 perlawanan di bawah Van Gaal, namun beliau tetap pendirian untuk berundur daripada membimbing skuad kebangsaan seperti yang dirancang. – AGENSI