DOHA: Kejayaan Maghribi mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan ramai peniaga di Souq Waqif, Doha pening.
Jersi replika pasukan Afrika Utara itu sudah habis dijual, namun penjual terus menerima permintaan yang semakin meningkat.
Beberapa hari menjelang kejohanan, kedai yang terletak di lorong sempit di pasar ikonik di tengah pusat bandar itu mula mengubah jualan mereka daripada pakaian serta aksesori Arab kepada jersi berwarna warni, selendang dan bendera negara sempena Piala Dunia.
Argentina, Brazil dan tuan rumah Qatar menjadi pasukan paling popular dalam kalangan peminat bola sepak yang hadir di pusat pelancongan itu dalam beberapa minggu pertama Piala Dunia.
Kini Maghribi, yang berdepan Perancis pada separuh akhir Piala Dunia awal pagi esok, mengambil alih sebagai pasukan paling popular dalam kalangan penyokong.
“Pada November, kami hanya menjual sedikit jersi daripada berpuluh-puluh yang ditempah,” kata peniaga, Muhammad Sadiq yang dipetik kepada Al Jazeera.

Katanya, permintaan semakin meningkat beberapa jam selepas Maghribi menewaskan Portugal untuk muncul pasukan Afrika dan Arab pertama layak ke separuh akhir dalam sejarah 92 tahun kejohanan.
Sebaik sahaja Maghribi mula mengutip mata di peringkat kumpulan, permintaan terhadap jersi dan barangan cenderamata pasukan itu semakin melonjak. Permintaan semakin tinggi selepas Singa Atlas menyingkirkan Sepanyol dan Portugal pada peringkat kalah mati.
“Setiap kali Maghribi menang, kami akan menempah beratus-ratus lagi jersi dan ia habis dijual menjelang tengah hari pada hari perlawanan berikutnya,” katanya.
Sejak pasukan itu layak ke separuh akhir, beribu-ribu peminat hadir di Doha dari segenap pelusuk dunia.
Sejurus tiba di Doha, persinggahan pertama mereka adalah Souq Waqif dan barangan pertama dalam senarai pembelian mereka sama ada jersi atau bendera Maghribi.
Ada juga sesetengah peminat tempatan Doha yang mula menyokong Maghribi selepas persembahan mengagumkan mereka pada pusingan kalah mati. – AGENESI