DOHA: Romelu Lukaku tidak harus dipersalahkan atas kegagalan Belgium melayakkan diri ke pusingan 16 akhir Piala Dunia 2022 biarpun dia gagal menyempurnakan beberapa peluang terbuka ketika seri 0-0 dengan Croatia dalam aksi terakhir Kumpulan F semalam.
Rakan sepasukan Lukaku, Timothy Castagne mempertahankan penyerang itu yang disifatkannya tidak mempunyai minit perlawanan mencukupi selain baru pulih daripada kecederaan.
“Saya tidak akan mengatakan dia punca kekalahan kami kerana dia juga mencipta beberapa peluang, dia memberikan bola kepada rakan sepasukan.
“Jika dia tidak berada dalam kedudukan, kami juga tidak akan mempunyai peluang menjaringkan gol.
“Saya rasa kita tidak boleh menyalahkannya, dia sudah mencuba dan memberikan segalanya, jika bola itu ditakdirkan tidak masuk, maka ia tidak akan masuk,” jelas Castagne.
Belgium menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan hanya mengutip empat mata selepas menang tipis ke atas Kanada dan kemudian tewas mengejut 0-2 kepada Maghribi.
Michy Batshuayi menjadi penjaring tunggal Belgium dalam Piala Dunia kali ini, namun kelibatnya langsung tidak kelihatan semalam.
Kegagalan ‘Generasi Emas’ Red Devils melangkah ke peringkat kalah mati turut mendorong kepada peletakan jawatan jurulatihnya, Roberto Martinez.

Itu bermakna, Martinez bakal melepaskan jawatan yang disandang sejak enam tahun lalu tanpa berjaya membawa Belgium memenangi sebarang kejuaraan.
Pencapaian terbaik mereka adalah menduduki tangga ketiga dalam Piala Dunia di Russia empat tahun lalu.
“Sudah tentu saya kecewa kami tersingkir. Ia detik yang amat menyedihkan buat Belgium,” kata Castagne. – AGENSI