PETALING JAYA: Lupakan isu padang latihan ‘teruk’ yang dikatakan menjadi serangan psikologi Myanmar terhadap Malaysia, malah lupakan juga rekod ‘buruk’ di tempat lawan.
Tidak kira dilabel sebagai Harimau Malaya ‘B’, anak-anak buah Kim Pan Gon sudah bersedia memenuhi misi memburu kemenangan pertama di Stadium Thuwunna, Yangon hari ini bagi mencerahkan peluang layak ke separuh akhir Piala AFF.
Dengan Vietnam dan Singapura, selain Laos turut berada di laluan Malaysia dalam Kumpulan B, Pan Gon sedar kekalahan kepada Myanmar akan menyukarkan misi menutup kempen selaku dua pasukan terbaik, slot untuk layak ke separuh akhir.
Kelmarin, sebaik sahaja tiba di Yangon, pasukan negara dikejutkan dengan keadaan tempat latihan yang tidak sempurna dengan permukaan padang tidak rata, berlubang dan sedikit keras.
Pan Gon tidak mahu memperbesarkan isu itu, dan mahu semua pemain serta peminat bola sepak menghormati Myanmar, selain hanya fokus kepada perlawanan dan misi memburu kemenangan.
“Saya perlu menghormati apa yang mampu Myanmar FA sediakan buat pasukan saya. Kami tak boleh merungut dengan kemudahan yang disediakan. Kami cuba sesuaikan diri dan tiada rungutan,” tegasnya.
Bagi pemain sayap lincah, Faisal Halim, tidak kira sekali pun hanya mencatat kemenangan tipis, misi utama yang dibawa Harimau Malaya di Yangon adalah pulang bersama tiga mata.
“Kalau menang 1-0 pun sudah cukup, janji kita dapat tiga mata dan bermain perlawanan kedua tanpa tekanan. Mahu atau tidak, kita perlu kerja keras dalam aksi pertama untuk mendapatkan rentak,” katanya.