LUSAIL: Perancis bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat kedudukan 2-2 dan adegan ‘kejar mengejar’ serta berbalas serangan berterusan sehingga masa tambahan sebelum Argentina akhirnya menamatkan kemarau 36 tahun dengan menjulang Piala Dunia ketiga menerusi penentuan sepakan penalti.
Lionel Messi yang menjadi inspirasi La Albiceleste menyifatkan final Piala Dunia kali paling gila, manakala kapten Perancis, Hugo Lloris menganggap ia perlawanan paling epik dan penuh drama pernah dilalui sepanjang beraksi pada Piala Dunia.
Selepas 16 tahun menanti dan empat kali menemui kegagalan, Messi pada usia 35 tahun akhirnya melengkapkan kariernya yang gemilang dengan menjulang satu-satunya kejuaraan yang tidak pernah diraih selama ini.
Menyumbang dua daripada tiga jaringan pasukannya, dia yang mengumpul tujuh gol keseluruhan pada kempen kali ini turut dinobat sebagai pemenang Bola Emas selaku Pemain Terbaik Piala Dunia 2022.
Perancis biarpun kecewa gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2018, namun harus berbangga dengan semangat juang dan tentangan hebat yang ditunjukkan pemain-pemainnya, terutama Kylian Mbappe yang meledak hatrik, sekali gus membawa pulang Kasut Emas selaku penjaring terbanyak.
Baru berusia 23 tahun dan sudahpun memiliki satu trofi Piala Dunia dalam kariernya, Mbappe memahat sejarah sebagai pemain pertama selepas legenda England, Sir Geoff Hurst (1966) meledak hatrik pada final Piala Dunia.
“Perlawanan ini ibarat pertarungan tinju, kami ditumbuk dan melakukan tumbukan.
“Kami tidak berputus asa. Kita memerlukan pemenang dan ia ditentukan menerusi sepakan penalti. Ia sering kali kejam. Kami pulang tangan kosong,” kata Lloris.