PETALING JAYA : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga Salahuddin Che Ros yang telah menghembuskan nafas terakhirnya, hari ini.
Bekas pemain kebangsaan era 1990-an itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 53 tahun.
FAM menerusi kenyataan rasminya berkata, Allahyarham merupakan anggota skuad Barcelona Babes 1992 turut pernah menyarung jersi Pahang dan Pulau Pinang.
“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin,” kata FAM dalam kenyataan tersebut.
Allahyarham Salahuddin bermain di posisi pertahanan skuad Barcelona Babes yang dibentuk khas FAM pada 1990 dengan sasaran layak ke Sukan Olimpik 1992.
Namun kegagalan projek itu menyaksikan skuad tersebut dibubarkan dan semua pemain pulang mewakili pasukan negeri masing-masing.
Allahyarham Salahuddin disambar Pahang menyaksikan selepas dua tahun bersama Tok Gajah, berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia 1992, sebelum kembali bersama Pulau Pinang pada 1994.
Beliau sebelum ini dilaporkan menghidap sakit jantung dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Anak kelahiran Bukit Mertajam disahkan menghidap penyakit jantung pada 2009 tetapi penyakitnya bertambah teruk sejak tiga tahun lalu sehingga memaksanya berhenti kerja setelah setahun bekerja sebagai buruh.
Pada Disember 2018, kisah bekas pemain pertahanan itu menjadi perhatian apabila berita mengenainya terpaksa tidur di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu pembedahan memasukkan perentak jantung dilaporkan media.-UTUSAN ONLINE