LONDON: Pertahanan Leicester City, Wout Faes secara tidak sengaja memberi harapan kepada Liverpool untuk memburu slot ke Liga Juara-Juara apabila menjaringkan dua gol sendiri ketika pasukannya kalah 2-1 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Leicester bermula baik apabila Kiernan Dewsbury-Hall meletakkan mereka di depan seawal minit keempat, namun barisan serangan Liverpool yang lemah perlu mengucapkan terima kasih kepada Faes.
Pada minit ke-38, Faes yang beraksi pada musim pertamanya selepas perpindahan dari Reims cuba mengeluarkan hantaran lintang Trent Alexander-Arnold tetapi ia menuju ke gawangnya sendiri, menewaskan penjaga gol, Danny Ward.
Tujuh minit berselang, percubaan Darwin Nunez melepasi Ward dan terkena tiang tetapi Faes sekali lagi menyebabkan bola menerjah gawangnya sendiri.
Keputusan itu meletakkan Liverpool di tangga keenam, dua mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham, manakala Leicester turun di tangga ke-13.
“Saya fikir kami tidak bermain baik hari ini tetapi penting untuk mendapatkan tiga mata dan menang.
“Kami cuba untuk bangkit dalam permainan tapi tidak cukup bagus dan kami sedar perkara itu. Apa pun kemenangan sesuatu yang positif dan pada masa sama, banyak perkara perlu diperbaiki,” kata pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Liga Perdana, West Ham diejek penyokong sendiri selepas kalah 0-2 kepada Brentford di tempat sendiri.
Jaringan babak pertama Ivan Toney dan Josh Dasilva menambah tekanan ke atas pengendali West Ham, David Moyes yang tewas buat kali kelima berturut-turut.
West Ham hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran manakala Brentford di tangga kesembilan. – AGENSI