DOHA: Selama ini England sering menjadi bahan jenaka lawan, dianggap hanya gah pada populariti dan bukan pencabar kejuaraan setiap kali memasuki pentas besar Piala Dunia.
Penyerang Brazil, Neymar malah terlupa ‘kewujudan’ Three Lions ketika diminta memilih pasukan yang dijangka mampu menjuarai Piala Dunia 2022 dan sempat menyindir dengan mengatakan, Jadon Sancho pemain kegemarannya pada kejohanan ini sedangkan bintang Manchester United tidak dibawa ke Qatar.
Begitupun selepas empat perlawanan, Three Lions telah meledak 12 gol, hanya bolos dua kali dan membuktikan semua pemain mampu menyumbang, dari simpanan hingga tonggak, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan menumbangkan juara bertahan, Perancis di suku akhir esok.

England tidak pernah menjuarai Piala Dunia sejak memenanginya buat kali pertama pada 1966, namun di Russia 2018 mereka mara ke separuh akhir dan pada Kejohanan Eropah di tempat sendiri tahun lalu, pasukan itu muncul naib juara.
Bintang muda seperti Jude Bellingham, Phil Foden dan Bukayo Sako sudah matang untuk mengetuai jentera England dengan dibimbing kapten berpengalaman, Harry Kane.
Perancis yang merangkul kejuaraan dunia buat kali kedua di Russia empat tahun lalu mempertaruhkan Kylian Mbappe dan Olivier Giroud untuk merobohkan gawang lawan.
Pemenang di Stadium Al Bayt akan menentang Portugal atau Maghribi, satu lagi pertembungan yang menarik tumpuan seluruh peminat bola sepak.
Portugal dengan ‘drama’ Cristiano Ronaldo menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan tetapi Singa Atlas, Maghribi turun dengan motivasi mahu mencipta sejarah sebagai pasukan Afrika pertama melayakkan diri ke separuh akhir.