PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran negara, Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie menghadirkan kegembiran buat kem badminton negara selepas dinobatkan sebagai juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh yang berlangsung di Stadium Tertutup Shaheed Tajuddin Ahmed, Dhaka sebentar tadi.
Ee Wei dan Tang Jie hanya memerlukan 28 minit untuk menewaskan gandingan Thailand, Phatharathorn Nipornram-Alisa Sapniti dengan keputusan 21-15, 21-13.
Lebih manis, ini merupakan kejuaraan pertama mereka sejak mula digandingkan pada penghujung November lalu.
“Sebenarnya kamu tidak pernah meletakkan sasaran apabila hadir ke sini kerana tidak mahu memberikan tekanan yang amat tinggi buat diri masing masing.
“Kami hanya mengingatkan antara satu sama lain yang kami perlu berjuang bersungguh-sungguh dan memenangi setiap perlawanan yang kami harungi.
“Walaupun ini bukanlah kejohanan besar, tetapi ini merupakan permulaan yang baik untuk saya dan Tang Jie dan perjalanan kami masih lagi panjang,” jelas Ee Wei ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selepas ini mereka bakal mengharungi satu lagi kejohanan iaitu Cabaran Antarabangsa Malaysia yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada 13 hingga 18 Disember depan.