DOHA: Gol penyamaan lewat minit mengheret permainan ke masa tambahan, sebelum dua perlawanan suku akhir Piala Dunia 2022 terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada Argentina dan Croatia.
‘Drama’ di Qatar semalam antara paling mendebarkan dalam sejarah Piala Dunia, dan ia berakhir dengan air mata kecewa buat pasukan No. 1 dunia, Brazil, manakala Belanda dihantar pulang oleh Argentina dalam aksi tegang yang menyaksikan 19 kad kuning dan satu kad merah dilayangkan.
Menguasai sebahagian besar perlawanan, malah melancarkan 11 sepakan tepat ke gawang lawan, Brazil menjangkakan mereka sudah sebelah kaki ke separuh akhir selepas mendahului 1-0 menerusi jaringan Neymar ketika masa tambahan berbaki tiga minit.

Begitupun Bruno Petkovic memberi ‘nyawa’ kepada Croatia dengan meledak gol penyamaan untuk mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti sebelum penjaga gol mereka, Dominik Livakovic muncul wira memastikan pasukannya menang 4-2.
Di Lusail, Argentina mendahului 2-0, namun Belanda yang tidak putus asa bangkit di hujung permainan hasil dua jaringan Wout Weghorst pada minit ke-83 serta 11 minit masuk waktu kecederaan.
‘Tangan emas’ Emiliano Martinez membawa Argentina ke separuh akhir selepas penjaga gol itu menyelamatkan sepakan penalti Virgil Van Dijk dan Steven Berghuis untuk kemenangan 4-3.
Argentina, satu lagi pilihan juara kini akan berdepan Croatia, naib juara 2018 di Lusail, Rabu ini.