AL KHOR: Didier Deschamps tidak kisah dengan masa depannya bersama Les Blues kerana tumpuannya kini hanya mahu memastikan rakyat Perancis lebih gembira, Ahad ini apabila berdepan Argentina pada final Piala Dunia 2022.
Penyandang juara itu membenam Maghribi 2-0 menerusi jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani dalam separuh akhir di Stadium Al Bayt semalam.
Perlawanan akhir Ahad ini bukan sahaja menjadi aksi terakhir buat Deschamps, malah kapten Argentina, Lionel Messi juga mahu mengakhiri karier gemilangnya.
Legenda Perancis, Zinedine Zidane disebut-sebut sebagai calon utama yang akan menggantikan Deschamps memandangkan kontrak jurulatih kebangsaan itu akan berakhir sejurus tamat Piala Dunia 2022.
“Saya tidak terlalu memikirkan tentang diri saya, kerana saya lebih menghargai kita berjaya mara sejauh ini.
“Pasukan ini lebih penting, dan kita berpeluang mempertahankan kejuaraan dalam perlawanan akhir, jadi itu sahaja sudah menjadi satu pencapaian yang besar.
“Bagaimanapun kami akan melakukan segala-galanya yang termampu bagi memastikan pasukan ini, serta seluruh negara akan menjadi lebih gembira pada Ahad,” jelas Deschamps.
Perlawanan Ahad ini bakal menjadi ulangan pusingan 16 terbaik pada Russia 2018 apabila Perancis menewaskan Argentina dengan keputusan 4-3 hasil kehebatan Kylian Mbappe. – AGENSI