DOHA: Croatia mendahului Maghribi 2-1 pada 45 minit pertama perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Dunia 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi.
Gol pertama Croatia terhasil pada minit ke-7 menerusi tandukan menarik Josko Gvardiol selepas pemain RB Leipzig di liga Jerman itu bijak menyempurnakan umpaman menerusi gerakan menarik sepakan percuma.
Bagaimanapun, kegembiraan anak buah Zlatko Dalic tidak bertahan lama apabila berselang dua minit kemudian, Achraf Dari berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Maghribi juga menerusi tandukan selepas menerima hantaran melalui sepakan percuma.
Pada minit ke-23, Croatia nyaris mendapat gol kedua menerusi kapten, Luka Modric namun, rembatan deras bintang tengah Real Madrid itu berjaya ditepis dengan cemerlang oleh Yassine Bounou selain Maghribi turut mendapat beberapa peluang menarik.
Pada minit ke-42, Mislav Orsic berjaya meletak Croatia kembali dihadapan apabila lambungan menariknya dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan Bounou dengan bola terkena tiang sebelum menerjah masuk ke gawang Maghribi.
Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat sekaligus membolehkan anak buah Dalic memasuki bilik persalinan dengan kelebihan satu jaringan.-UTUSAN ONLINE