IPOH: Soong Joo Ven gagal memenuhi reputasi sebagai pilihan kedua perseorangan lelaki apabila tersingkir pada pusingan ketiga badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 di Arena Badminton Perak hari ini.
Bekas pemain kebangsaan itu tewas 14-21, 18-21 di tangan rakan senegara, Lim Chi Wing.
Bagaimanapun pilihan keempat kejohanan, Cheam Jun Wei mudah meneruskan kemaraan.
Jun Wei menumpaskan rakan senegara, Mohamad Haris Sufian Rushdan 21-13, 21-10.
Turut layak Ong Ken Yon, namun pemain pilihan ke-15 itu terpaksa mengerah keringat dalam pertarungan tiga set sebelum menundukkan Lim Chong King 17-21, 21-19, 21-18.
Pilihan ke-16, Lee Shun Yoong melakukan kejutan apabila menyingkir pilihan ke-6, Jason Teh Jia Heng 21-15, 21-13 untuk mara ke suku akhir
Dua beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mai Ying dan Wong Tien Chi- Lim Chiew Sien berjaya ke suku akhir.
Pang Ron-Mai Ying mengenepikan gandingan Filipina, Julian Villabrille – Airah Mae Nicole Albo 21-18, 21-12.
Manakala Tien Chai-Chiew Sien menumpaskan Alvin Morada-Alyssa Ysabel Leonardo 27-25, 21-8.
Gandingan Ng Eng Chiang-Teoh Le Xuan menumpaskan Solomon Jr Padiz-Eleanor Christine Inlayo 21-11, 21-16 untuk meneruskan kemaraan.