DOHA: Penyingkiran Brazil dari Piala Dunia 2022 menjadi bahan jenaka pencinta kucing, malah meninjau ke media sosial, rata-rata meraikan keputusan tersebut dengan menganggap ia satu ‘kemenangan’ buat semua kucing di dunia.
Awal pagi tadi, Brazil yang dianggap calon utama untuk menjuarai Piala Dunia kali ini disingkirkan oleh Croatia menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas perlawanan berakhir 1-1.
Begitupun sehari sebelum perlawanan, ada insiden yang telah ‘mengguris’ hati pencinta haiwan berbulu itu.
Brazil should’ve spoken to Jonas Eidevall before tonight to learn about the power cats hold over football results.
— Adam Millington (@AdamGMillington) December 9, 2022
Ketika penyerang Brazil, Vinicius Junior bersedia untuk menjawab soalan dalam sidang akhbar, seekor kucing jalanan muncul dan duduk di meja.
Seorang pegawai pasukan Brazil kemudian bertindak melempar kucing tersebut, dan peminat yang marah menganggap kekalahan negara itu berpunca daripada ‘sumpahan kucing’.
“Jangan buat ‘main’ dengan kucing,” tulis pengguna akaun Twitter, Puflito.
“Jelas sekali, Brazil memandang rendah kedua-duanya, Croatia dan ‘kuasa karma’ kucing,” kata pempengaruh media sosial, Ryan Bailey.
“Melihat Brazil kalah kepada Croatia, saya mula terfikir tentang sumpahan kucing,” tulis seorang lagi pengguna media sosial.
“Kucing itu telah menyumpah seluruh pasukan Brazil, mereka tidak memenangi Piala Dunia kali ini,” kata Zariq.