DOHA: Kebanyakan peminat bola sepak mengimpikan pertembungan dua gergasi Amerika Selatan, Brazil dan Argentina pada separuh akhir Piala Dunia 2022.
Sejak awal lagi, kedua-dua pasukan menjadi pilihan untuk membawa pulang kejuaraan di Qatar, dan pertemuan dua musuh tradisi itu ibarat ‘final’ Piala Dunia.
Begitupun untuk ke separuh akhir, Brazil yang turun dengan status No. 1 dunia perlu melepasi Croatia, yang membawa kebanyakan tonggak yang membantu mereka muncul naib juara di Russia 2018.
Brazil yang dilabel sebagai lawan ‘menggerunkan’ dengan memiliki kualiti di semua posisi diletak sebagai pilihan untuk mengatasi Croatia, pasukan No. 12 dunia yang agak bergelut untuk ke suku akhir, termasuk dipaksa berhempas pulas menyingkirkan Jepun di pusingan 16 akhir.
Classificamos para as quartas de final e já iniciamos a nossa preparação para enfrentar a Croácia pela @FIFAWorldCup
Anota aí! É sexta-feira! Vamos juntos pela sexta estrela pic.twitter.com/yyAleP9OhH
— CBF Futebol (@CBF_Futebol) December 7, 2022
Argentina juga berdepan lawan yang amat mencabar, pasukan No. 8 dunia, Belanda yang nampak ampuh di bahagian pertahanan biarpun di awal saingan dianggap sedikit ‘membosankan’.
Seperti Brazil, Argentina yang turun dengan status No. 3 dunia menjadi pilihan untuk menjinakkan anak-anak buah Louis van Gaal di Stadium Lusail.
Lionel Messi yang akan membuat penampilan terakhir pada Piala Dunia mahu membawa pulang satu-satunya kejuaraan yang tidak pernah dimenangi sepanjang karier bola sepaknya yang gemilang.
Begitupun, Messi akan berdepan benteng kebal, Virgil van Dijk yang hanya bolos dua kali dalam empat perlawanan di Qatar. – AGENSI