DOHA: Perancis yang bersemangat untuk mempertahankan Piala Dunia mungkin memberi kejutan kepada Argentina dalam final Ahad ini apabila bersedia menurunkan Karim Benzema yang baru pulih daripada kecederaan betis.
Menurut laporan di Sepanyol, Real Madrid memberi lampu hijau kepada pemain penyerang berusia 34 tahun itu untuk beraksi selepas disisihkan dalam semua aksi awal Les Bleus akibat kecederaan.
Pemenang Ballon d’Or itu digugurkan sehari sebelum sepak mula pada 18 November lalu kerana cedera ketika sesi latihan.
Benzema yang membantu Real menjulang trofi Liga Juara-Juara ke-14, Mei lalu terpaksa pulang ke Madrid bagi menjalani rawatan tiga minggu.
Dia menyertai senarai tonggak Perancis yang cedera seperti Paul Pogba, Lucas Hernandez, Presnel Kimpembe, N’Golo Kante serta Christopher Nkunku.
Bagaimanapun pengendali Perancis, Didier Deschamps tidak menggugurkan nama Benzema dan meneruskan saingan dengan baki 25 pemain di Qatar.
Benzema telah meledak 37 gol sepanjang 97 penampilan bersama Perancis dan merupakan penjaring terbanyak pasukan itu pada Piala Dunia 2014, namun empat tahun berikutnya di Russia, dia ‘digam’ susulan skandal video seks bersama rakan sepasukan, Mathieu Valbuena.
Perancis merupakan pasukan pertama berjaya mara ke final dalam dua edisi Piala Dunia berturut-turut sejak Brazil melakukannya 20 tahun lalu.
Deschamps pula berpeluang memahat sejarah menjadi pengurus kedua memenangi Piala Dunia dalam dua edisi berturut-turut selepas Vittorio Pozzo membawa Itali menjulang gelaran pada tahun 1934 dan 1938. – AGENSI