DOHA: Selepas dikritik oleh media mereka sendiri kerana aksi membosankan di peringkat kumpulan, Louis van Gaal menyeru Belanda tampil lebih bersemangat dan tajam apabila menentang Amerika Syarikat (AS) pada pusingan 16 akhir Piala Dunia 2022 hari ini.
Prestasi skuad Oranje dalam tiga perlawanan Kumpulan A disifatkan paling membosankan sehingga akhbar utama negara itu, Telegraaf menganggap mereka seperti ‘berjalan dalam tidur’, manakala Volkskrant melabel Belanda ‘kering tulang’.
Mereka mahu Belanda menggunakan taktikal yang mampu menyerlahkan kualiti Cody Gakpo, pemain sayap yang telah meledak gol dalam setiap perlawanan kumpulan, selain memanfaatkan benteng mantap yang diketuai Virgil van Dijk.

“Membosankan itu kata kamu, saya tidak bersetuju dan mempunyai perspektif berbeza.
“Mengapa kamu tulis ia membosankan? Jika anda rasa ia bosan mengapa tidak balik ke rumah,” kata Van Gaal dalam sidang akhbar kelmarin.
Begitupun sehari sebelum perlawanan di Stadium Antarabangsa Khalifa, pengendali Belanda itu mengakui, pasukannya perlu lebih ‘bernafsu’ jika mahu menundukkan AS dan meraih tiket suku akhir.
Belanda menumpaskan Senegal 2-0 dalam aksi pertama, seri 1-1 dengan Ecuador dan mengalahkan Qatar 2-0.
AS juga tampil kurang meyakinkan selepas seri 1-1 dengan Wales, mengikat England 0-0 dan menang tipis 1-0 ke atas Iran dalam Kumpulan B.
“Berdasarkan pengalaman menentang negara seperti AS dan Australia, mereka amat kental apabila memasuki peringkat kalah mati. Kami pernah melalui pengalaman itu pada Piala Dunia 2014 di Brazil.
“Mereka bekerja keras dan bagus dalam penguasaan bola, namun ketika ini mereka keresahan kerana Christian Pulisic cedera,” kata Van Gaal. – AGENSI