MUNICH: Biarpun boleh dibawa masuk secara percuma, namun Bayern Munich tidak berminat mendapatkan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Oliver Kahn.
Ronaldo, 37, dikaitkan dengan beberapa kelab selepas kontraknya ditamatkan oleh Manchester United, minggu lalu.
Ejen pemain itu, Jorge Mendes mengakui, rundingan mengenai destinasi baharu pemenang enam anugerah Ballon d’Or itu sedang dijalankan.
Begitupun Kahn menolak kehadiran Ronaldo bersama gergasi bola sepak Jerman itu kerana tidak sesuai dengan ‘falsafah’ kelab.
“Kami sudah membuat keputusan mengenai Ronaldo. Kami ada idea dan falsafah yang jelas daripada segi bagaimana pasukan harus bermain.
“Kami menghargai Ronaldo. Kita semua sayangkan penyerang Portugal itu tetapi terdapat perkara yang tidak sesuai dengan idea kami sekiranya dia dibawa masuk ke dalam pasukan,” katanya.
Ronaldo digugurkan oleh United susulan ditemubual kontroversi bersama Piers Morgan, di mana dia mengkritik kelab, pengurus, Erik ten Hag sehingga pemilik, Keluarga Glazers.
Selain Bayern, Ronaldo turut dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea selepas pemilik kelab, Todd Boehly seperti berminat untuk membawa bintang itu ke Stamford Bridge.
Begitupun akhbar Britain, Daily Mail semalam melaporkan, bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu sudah menandatangani kontrak lumayan bersama kelab gergasi Arab Saudi, Al Nassr.
Ronaldo dikatakan bersetuju menerima tawaran bernilai 172.9 juta pound (RM922.36 juta) setahun.
Dia pernah menolak perpindahan ke Arab Saudi tahun lalu, namun disebabkan tiada kelab elit Eropah berminat mendapatkan khidmatnya, Ronaldo mungkin merubah fikiran.
Menurut laporan itu, Ronaldo sudah menandatangani kontrak dua tahun setengah bersama Al Nassr, antara kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Arab Saudi.
Al Nassr pernah menjuarai liga utama Arab Saudi sembilan kali, di mana kejuaraan terakhir pada 2019. – AGENSI