DOHA: Australia berjaya menarik nafas lega apabila berjaya mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Denmark 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub sebentar tadi.
Walaupun dihimpit badi dengan rekod lapan kekalahan ketika menentang negara Eropah, kejayaan ini mengekalkan rekod baik Australia ke atas Denmark memandangkan kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 pada pertemuan terakhir di Piala Dunia, empat tahun lalu.
Terdahulu, kedua-dua pasukan turun dengan misi ‘hidup mati’ dan Australia hanya memerlukan keputusan seri untuk layak berbanding Denmark yang wajib menang.
Mathias Jensen dan Andreas Skov Olsen jelas mencari pemain tumpuan bagi Denmark namun beberapa peluang yang tercipta gagal disudahkan dengan lebih baik oleh gandingan ini
Keputusan pengendali Australia, Graham Arnold memasukkan Keanu Baccus bagi mengganti Craig Goodwin menjadi percaturan berbaloi dan berjaya menyaksikan anak buahnya bermain lebih baik berbanding 45 minit pertama.
Sebaik aksi memasuki minit ke-60, Mathew Leckie akhirnya menghadirkan keceriaan buat penyokong Australia apabila pamer ketenangan, dua kali memperdayakan pertahanan Denmark, Joakim Maehle sebelum melepaskan sepakan yang menewaskan Kasper Schmeichel.
Kemaraan ini juga menyaksikan penjaga gol, Mathew Ryan dan Leckie berpeluang mencipta rekod baharu sebagai pemain yang memiliki kaps paling banyak di Piala Dunia selepas kedua-duanya kini sudah pun menyamai rekod milik Tim Cahill dan Mark Bresciano dengan sembilan penampilan.