DOHA: Pertahanan Australia, Milos Degenek menegaskan, pasukannya sedia merosakkan ‘kisah indah’ Lionel Messi dan telah belajar daripada kekalahan kepada Perancis untuk melakar kejutan ke atas Argentina pada pusingan 16 akhir Piala Dunia 2022 esok.
Kebanyakan peminat bola sepak mahu Argentina memenangi kejohanan berprestij itu agar Messi, 35, yang juga pemenang Ballon d’Or tujuh kali boleh bersara dengan menjulang Piala Dunia, satu-satunya trofi yang belum dimiliki dalam kariernya.
Degenek menganggap dia salah seorang pencetus kemenangan Australia ketika menewaskan Denmark 1-0 kelmarin, dan bersedia mengulangi detik itu sekali lagi dengan mengawal Messi serta rakan-rakannya.
“Argentina jelas didorong oleh motivasi bahawa ini Piala Dunia terakhir Messi…Bagi kami, semua itu akan dihentikan.
“Saya peminat Messi tetapi saya ingin memenangi Piala Dunia, mungkin lebih daripada dia mahu menjuarainya.
“Kami tahu reputasi Argentina, ia pasti perlawanan yang sukar tetapi selain daripada itu, ia cuma 11 lawan 11. Tidak ada 11 Messi, hanya ada satu,” kata Degenek.
Menurut Degenek, dia amat menghormati Messi dan menganggap penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu sebagai pemain terhebat dunia.
Begitupun, apabila kedua-dua mereka bertembung di atas padang esok, perasaan terlalu menghormati itu akan dihakis dan dia akan menunjukkan penghormatan sebenar dengan memberi aksi terbaik.
Dalam perlawanan pembukaan di Qatar, skuad Socceroos turut berdepan pemain bintang seperti Kylian Mbappe, yang membantu Perancis membenam mereka 4-1.
Bagaimanapun, anak-anak buah Graham Arnold bangkit mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Tunisia dan Denmark tanpa dibolosi gol.
Ini kali kedua Australia melangkah ke peringkat kalah mati dalam sejarah penyertaan mereka pada Piala Dunia.
Australia tidak pernah mara ke suku akhir dalam enam penampilan Piala Dunia, dan pusingan 16 adalah pencapaian terbaik pasukan itu. – AGENSI