DOHA: Perebutan kemahsyuran bola sepak tertinggi dunia, Piala Dunia Qatar 2022 bakal ditentukan sebentar lagi di Stadium Lusail antara juara bertahan Perancis dan juga Argentina yang idam untuk menamatkan penantian 36 tahun menjulang Piala Dunia.
Pengurus Argentina, Lionel Scaloni menggunakan formasi 4-4-2 dengan menyenaraikan semula Angel Di Maria di sayap kanan, untuk menggantikan Leandro Paredes.
Rodrigo De Paul dan Enzo Fernandez bakal mengemudi bahagian tengah, manakala Alexis Mac Allister pula akan memainkan peranan penting di bahagian sayap kiri.
Selain itu, Marco Acuna dan Gonzalo Montiel turut kembali memperkuatkan barisan pertahanan Albiceleste selepas tamat menjalani penggantungan perlawanan, bersama sama Nicolas Otamendi dan juga Nicolas Tagliafico.
Di barisan penyerang, Lionel Messi terus dipetaruhkan untuk membentuk gandingan ampuh bersama Julian Alvarez.
Di kem Perancis, pengurus pasukan, Didier Deschamps pula mengekalkan formasi 4-2-3-1.
Deschamps memilih untuk menurunkan Dayot Upamecano bergandingan dengan Raphael Varane di benteng pertahanan biarpun Ibrahima Konate menampilkan persembahan cemerlang ketika berdepan Croatia di separuh akhir tempohari.
Tiga pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan juga kekal membarisi kesebelasan utama Les Blues dengan Adrien Rabiot diletakkan di bahagian tengah dengan Aurelien Tchoumeni, begitu juga Theo Hernandez
Kingsley Coman pula terpaksa diletakkan di bangku simpanan selepas mengadu mengalami demam dan terpaksa terlepas sesi latihan pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, tiada kehadiran semula Karim Benzema dalam pasukan seperti dicanangkan sebelum ini dengan Perancis kekal menggunakan Olivier Giroud, Antoine Griezman, Ousmane Dembele dan Kylian Mbappe untuk mengemudi jentera serangan Perancis.