BUENOS AIRES: Ribuan peminat mengerumuni bas yang membawa pasukan Argentina, malah ada yang memasang khemah di padang latihan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) bagi memastikan mereka tidak terlepas detik menyambut kepulangan wira-wira Albiceleste dari Piala Dunia Qatar.
Di tepi jalan, ribuan peminat dilihat tidur dalam kereta dan ada yang datang dengan menunggang kuda untuk menjadi sebahagian daripada pesta.
Argentina menamatkan penantian 36 tahun untuk bergelar juara dunia, menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti kelmarin, kejayaan yang disambut dengan pesta bunga api, malah kerajaan mengisytiharkan semalam sebagai cuti umum.
Sebaik sahaja mendarat di Buenos Aires awal pagi semalam, kapten mereka, Lionel Messi orang pertama turun dari pesawat sambil memegang trofi emas. Pemain kemudian berjalan di atas hamparan permaidani merah.
Los campeones del mundo ya están en casa 🇦🇷🏆
¡Gracias por tanto cariño! ❤️ pic.twitter.com/usGKj4l7ql
— 🇦🇷 Selección Argentina ⭐⭐⭐ (@Argentina) December 20, 2022
Ratusan pengamal media, pegawai dan pancaragam turut menyambut pasukan.
Semasa bas pasukan bergerak meninggalkan lapangan terbang, mereka dikerumuni penyokong yang bersorak dengan berpakaian warna kebangsaan biru dan putih.
Terdapat video menunjukkan bas itu bergerak perlahan diiringi polis pengiring dan dikelilingi puluhan ribu orang sambil mengibarkan bendera Argentina serta membakar mercun.
Suasana itu dipenuhi dengan sorakan dan nyanyian orang ramai yang turut menari, sambil pemain pula berdiri di bas terbuka dan melambai kepada penyokong.
Pada hari pertama tiba, pasukan Argentina bermalam di padang latihan AFA dengan disertai penyokong yang telah memasang khemah di tapak sama, sebelum pasukan tiba.
Ada yang berbaring di atas selimut di atas rumput, malah ada juga yang berehat di kerusi berkelah di sekeliling kawasan.
“Saya tidak percaya kami telah menderita begitu banyak.
“Sukar dipercayai tetapi pasukan ini bertindak balas. Saya bangga dengan kerja yang mereka lakukan.
“Saya ingin orang ramai menikmati detik bersejarah,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni. – AGENSI